Thursday 28 June 2012

tentang kolej kami

Sejarah Penubuhan

Kolej komuniti adalah sebuah daripada institusi pendidikan awam yang terletak dibawah kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (sebelum ini di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia). Diluluskan penubuhannya dalam mesyuarat kabinet pada 5 Julai 2000 dan digabungkan dengan Jabatan Pengajian Politeknik sebagai Sektor Pengajian Kolej Komuniti. Pada 15 September 2009,  Sektor Pengajian Kolej Komuniti telah dipisahkan dari Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej komuniti dan menjadi Jabatan Pengajian Kolej Komuniti. Di awal penubuhannya Kolej Komuniti telah menawarkan sebanyak 23 kursus kemahiran di 42 kampus induk dan 21 kampus cawangan diseluruh Negara. Sejak penubuhannya, Kolej Komuniti telah mengeluarkan seramai 25,767 pelajar sepenuh masa dan 361,349 pelajar separuh masa dari pelbagai bidang kemahiran.
Kolej Komuniti Ledang telah beroperasi pada 01 April 2002 di kampus sementara iaitu di Sekolah Menengah Teknik Muar dan kini Kolej Komuniti Ledang Johor telah pun bertapak di kampus tetap yang terletak di Jalan Payamas Tangkak pada 05 Oktober 2004. Kolej ini menawarkan pengajian peringkat sijil dalam bidang Servis Kenderaan Ringan, Servis Penyejukan dan Penyamanan Udara, Pastri, Perkeranian Akaun dan Pengoperasian Perniagaan serta Program Latihan 1 Malaysia (kursus pendek) dengan pelbagai jenis kursus menarik. Mempunyai seramai 76 orang kakitangan yang terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan akademik. Bangunan Kolej Komuniti Ledang telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim pada 8 Ogos 2010 bersamaan 27 Syaaban 1431H.
Sasaran penubuhan Kolej Komuniti Ledang ini, maka bertambahlah institusi yang bertanggungjawab mendidik pelajar-pelajar lepasan menengah yang mempunyai minat dalam bidang yang berasaskan kemahiran. Selain daripada melatih pelajar-pelajar lepasan SPM, Kolej Komuniti juga memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menambahkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang berasaskan kemahiran dan ilmu terkini.
Kolej Komuniti Ledang ditubuhkan untuk memenuhi kehendak sosial dan keperluan tenaga manusia selaras dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja mahir. Bagi golongan setempat pula, kolej ini berperanan memberi pendedahan kepada mereka dengan kursus-kursus pendek yang ditawarkan. Lulusan Kolej Komuniti berpeluang untuk mengisi keperluan tenaga kerja industri dalam bidang-bidang kemahiran yang berkaitan atau membuka perniagaan sendiri.

No comments:

Post a Comment